Monolog

"Kalau suka boleh baca"

Selasa, 23 Disember 2014

Terang Itu Dusta

Jalan Sehala - Aku


Lari aku ke lorongan sunyi
mencari pasti corong erti
aku tak ingin di balik kelam,
aku ingin terang benderang.

Getar rasa berlaungan berbicara
terang itu hanya dusta! dusta!
Hingga terang ganti malap,
sudah malap ganti sunyi.

Rentak ini makin menyumbang,
dalam rasa lewat curang; bimbang.
Apa perlu untuk terus berlari?
Itu aku tidak pasti lagi.

16 Januari 2013
8:32 Pagi
Shah Alam

Selasa, 16 Disember 2014

Tanpa Tajuk

gambar tomato
Tomato - Aku

Hari ni aku betul - betul tak faham. Buat itu tak kena, buat ini tak kena, duduk tak kena, berdiri tak kena.

Entah kenapa.

Mungkin sebab yang di dalam ini dah kosong, tak berisi. Nak isi macam mana kalau diri aku pun tak betul lagi. Entah kemana nak aku tuju pun aku tak pasti lagi. Kepala berdengung nak kejar sana sini; sana minat, sini minat. Aku kena fokus.

Aku banyak berfikir sejak umur dah meningkat ni; benda yang sangat aku tak suka. Aku tak suka bila aku banyak berfikir, aku jadi tak tentu arah, lemas, sakit hati, kadang tu aku jadi fikir benda yang buat aku hilang semangat.

Semua bermula dengan perkataan 'kalau', perkataan ni paling bahaya sekali. Sekali dia keluar dari celah otak, bersepah akal melayang sana - sini. Jadi aku nak cuba elak dari perkataan ni, jadi lebih selamat untuk aku.

Aku dah terkena dengan si kalau ni banyak kali. Mungkin kau dan kau pun sama, itu aku tak tahu.


Ahad, 14 Disember 2014

Maksud Personifikasi

Ya. Aku masih baru dalam bidang bahasa. Bahasa aku sendiri yang hari-hari keluar dari mulut aku, aku masih tak lupa masa di bangku sekolah aku anggap bahasa melayu adalah subjek yang mudah. Jadi aku tak endahkan sahaja apa yang cikgu-cikgu aku bebel di depan. Hari ini aku menulis nota di sini supaya mudah aku rujuk dan hadam untuk mata aku sendiri dan kalau orang lain nak baca, dipersilakan.

Personifikasi


Personifikasi disebut juga pengorangan ialah gaya bahasa kiasan yang memberi sifat-sifat manusia kepada benda-benda mati, baik perlakuan dalaman atau perlakuan luaran. Penggunaan gaya bahasa personifikasi dapat memperjelaskan dan memudahkan pemahaman masej sesebuah sajak.

- Maniyamin Ibrahim, 2006

Personifikasi ialah perlambangan sifat-sifat manusia yang diberikan kepada benda tidak bernyawa atau sesuatu yang abstrak, contohnya emosi, hasrat, perasaan dan pertuturan. Perkataan personifikasi (personification) sebenarnya berasal daripada bahasa Yunani, "prosopopoeia"

- Wikipedia

Dalam penggunaan bahasa personifikasi, aku ada terbaca satu artikel dikatakan hampir kesemua puisi A. Samad Said yang dikaji menggunakan personifikasi. Pemghasilan personifikasi dalam karya Pak Samad adalah untuk menyampaikan idea-idea yang abstrak.

Kita tidak akan rela berganjak mendakap alam
khusus ketika ia sedang terus terdera kejam;
kita tak rela dengar rintih rimba yang murung;
atau menyerap tangis dedaun dan sedu burung.
(A.Samad Said: ‘Langkah Lestari’)

Di dalam karya Pak Samad, 'Langkah Lestari'. Perkataan alam dipersonifikasikan dengan klausa terdera kejam, sementara rimba dipersonifikasikan dengan rintih bagi menggambarkan nasib yang dialami oleh alam.

Setahun lagi – kini kita sedang dikucupi nafas puasa,
Aidilfitri turut menyerlah dengan senyum seindahnya.
(A.Samad Said: ‘Ramadhan Wangi’)

Sementara dalam 'Ramadhan Wangi', penulis mempersonifikasi puasa dengan 'dikucupi nafas'. Hal ini dengan tidak langsung membangkitkan lagi perasaan terhadap ayat yang dibaca.

Itu adalah secebis kecil ilmu yang aku tahu dalam soal personifikasi ini, sedikit sebanyak membantu aku untuk menyelam mencari estetika dalam seni bahasa melayu ni. Aku lebih berminat dengan sajak-sajak moden yang lebih kental bahasanya tapi aku lebih suka bahasa kental yang mempunyai keindahan bahasa bukan sekadar kental yang bukan-bukan.

Ahad, 7 Disember 2014

Terang

Tanpa Tajuk - Aku


Aku termenung di kaki lima,
pandanganku lurus ke atas.
Langit yang kejap gelap, kejap terang.
Jadi aku keluarkan lampu picit,
aku suluh ke atas.

Tetap sama..
kejap terang, kejap gelap,
entah di mana salahnya.
Aku ambil batu, lempar ke atas sana.
Langit tetap sama,
batu entah ke mana.

Aku diam mengosongkan dada.
menarik pintu akal,
mengetuk yang di dalam.
Belati tajam tersedia di tangan,
Aku belah dada, hati ini kurobek keluar.
Berceceran deras darah hitam.

Aku perhati setiap inci,
baru aku faham.
Di mana yang terang,
di mana yang gelap.
Selepas datang gelap,
baru timbul terang.

Kedai Kopi
Teluk Intan
5 Disember 2014
6.16 Petang





Rabu, 3 Disember 2014

Batu

Batu - Aku


Wahai batu..
Dulu kau tak ubah macam benak aku.
Bila ditendang tak berderai,
bila dipijak teguh tak bercerai.

Sekarang juga batu,
tapi tinggal kisah di zaman batu.
Entah mana teguhnya aku pun tak tahu.
Mungkin pergi bersama musim yang lorek cela,
mungkin hilang bersama hakis bencana.

Wahai batu..
Sekarang cuma tinggal keras kepalaku.
Tak dapat dihakis,
tak dapat diurai.
Tinggal bersama cebisan hati batu.

Kembali Aku

Jalan Lurus by Aku

Dah lama aku tinggalkan blog usang yang tak ada penghuni; leka dengan duniaku yang biasa-biasa saja. Kadang kelu jari keras kematu nak menulis apatah lagi untuk melukis. Jadi aku humban pemikiran ke benda-benda yang aku tak jemu, entah macam mana, sebab apa, tabiat apa, datang benak nak menulis.

Banyak penulisan yang dah aku buang sebab aku sendiri rasa nak keluar segala isi dalam corong tembolok ni. Biar yang lama tu aku jadikan conteng-conteng peribadi lamaku dan yang baru untuk yang nak membaca tulisan-tulisan raung, rungut, dan suka aku di sini.