Monolog

"Kalau suka boleh baca"

Jumaat, 5 November 2010

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary A Legacy

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

Hello bloggers semua. Korang mesti kenal kan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary? aku nak kongsi dengan korang sedikit sebanyak cerita tentang dia. Dia ni boleh dikatakan idola aku jugak dan aku kagum ada lagi orang yang berjaya yang bersifat sederhana. So, korang bacalah petikan dari Utusan Malaysia ni ye? harap boleh dijadikan inspirasi korang. Enjoy...


Yayasan Al - Bukhary


Siapa Syed Mokhtar? - 23/09/2002 - utusan malaysia 

RAMAI yang pernah mendengar mengenai Yayasan Al Bukhary, sebuah badan kebajikan yang telah membelanjakan beratus-ratus juta ringgit untuk tujuan amal. 

Yayasan ini milik Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, seorang ahli perniagaan yang tidak gemarkan publisiti. 

Bagaimanapun, tidak ramai yang mengetahui siapa sebenarnya ahli perniagaan ini dan bagaimana beliau membina empayar perniagaannya. 

Wartawan Utusan, ZAHARUDDIN MOHD. ALI cuba menghuraikan siapa sebenarnya Syed Mokhtar dan apa yang telah menjadikan beliau seorang yang amat berjaya. 

KEBELAKANGAN ini setiap kali apabila seseorang itu berkata mengenai Persyarikatan Malaysia, satu nama yang akan disebut berkali-kali ialah Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary

Walaupun beliau tidak begitu diketahui umum, ahli perniagaan yang tidak gemar publisiti ini adalah pemilik pelbagai jenis perniagaan - rangkaian syarikat tenaga, pelabuhan, hotel, perkilangan dan pasar raya. 

Beliau tidak pernah memberi sebarang wawancara kepada sesiapa lebih gemar kepada cara kehidupan yang low profile. 

Namanya tidak pernah tercatat dalam mana-mana syarikat - termasuk syarikat awam yang disenaraikan di bursa saham walaupun beliau dikatakan telah membuat pelaburan berjuta-juta ringgit. 

Keadaan ini menambah lagi misteri mengenai beliau. 

Walau bagaimanapun, menurut mereka yang mengenali Syed Mokhtar, beliau bukanlah seorang yang gemar menyendiri seperti yang disangka. 

Beliau adalah seorang yang mudah mesra, peramah dan fokus terhadap apa yang diusahakan selain menggemari gaya hidup yang serba ringkas. 

Kereta mewah seperti BMW atau Mercedes Benz yang terbaru bukanlah minat beliau. 

Menurut seorang pemerhati, Syed Mokhtar hanya memandu kereta Proton Perdana model lama, berpakaian serba ringkas dan akan ke Sentul untuk menikmati teh tarik kegemarannya. 

Beliau masih mempunyai sebuah kereta Mercedes yang telah berusia 20 tahun yang digunakan dari semasa ke semasa. 

Syed Mokhtar juga menggunakan beg bimbit yang mungkin sama usia dengan kereta Mercedes tersebut. 

Persoalannya, siapakah Syed Mokhtar dan apakah falsafah yang telah memberikan semangat kepada ahli perniagaan itu untuk menjadi seorang yang berjaya hari ini - mengambil alih projek-projek mega yang telah gagal dan mengusahakannya semula sehingga berjaya? 

Jawapannya menurut Mohd. Sidik Shaik Osman, yang mengenali Syed Mokhtar sejak lebih 25 tahun lalu ahli perniagaan itu dilahirkan di sebuah rumah kampung beratapkan nipah milik kedua ibu bapanya pada 1951. 

Kesusahan dan kemiskinan adalah dua perkara yang beliau amat fahami. 

Bapa beliau, Syed Nor, adalah seorang pedagang berketurunan Yaman yang menetap di Kedah, menyara keluarga dengan menjalankan perniagaan menjual pelbagai jenis barangan keperluan harian. 

Syed Nor kemudiannya mengusahakan ladang ternakan lembu. 

Bagaimanapun, hasil yang diperolehnya adalah amat sedikit dan keadaan memaksa Syed Mokhtar ke pasar setiap pagi sebelum ke sekolah untuk menjual roti canai dan sayur bayam yang ditanamnya sendiri di sebidang tanah kecil di sebelah rumahnya. 

Semasa berusia 11 tahun, Syed Mokhtar telah dijaga oleh pakciknya di Johor Bahru yang mahukan beliau menceburi bidang ketenteraan tetapi dibantah oleh ibu bapanya. Disebabkan beliau telah didedahkan kepada suasana alam perniagaan, beliau tidak bersetuju dengan idea tersebut dan kembali ke Alor Setar. 

Sekembali beliau ke kampung, perniagaan menjual lembu telah semakin pulih dan kehidupan Syed Mokhtar pada lewat tahun 1960 terbahagi dua - bersekolah di St. Michael Institution, di mana beliau menamatkan pelajarannya di tingkatan lima, dan pada masa yang sama membantu bapanya menguruskan perniagaan dan bertanggungjawab terhadap soal simpanan kira-kira dan urusan pengangkutan. 

Gandingan bapa dan anak ini mengimport lembu dari Thailand, Langkawi dan Perlis untuk dijual di pasaran tempatan. 

Daripada sebuah perniagaan sendiri ia telah menjadikan Alor Setar kepada sebuah pusat perdagangan lembu. Walau bagaimanapun, kegembiraan dan kekayaan keluarga tersebut hanyalah sementara. 

Wabak penyakit kaki dan mulut pada tahun 1970 telah membinasakan keseluruhan perniagaan lembu mereka. Kerana kecewa, bapa beliau telah mengambil keputusan untuk tidak lagi menceburi bidang perniagaan itu. 

Keadaan ini menyebabkan Syed Mokhtar berdepan dengan masa depan yang tidak menentu. 

Bagaimanapun, dalam masa beberapa minggu, anak muda ini telah bangkit semula. Kegagalan tidak mematahkan semangat Syed Mokhtar. Beliau menganggap ini semua sebagai halangan sementara yang telah memberikan beliau pengajaran yang amat bernilai. 

Halangan sementara ini telah menjadikan beliau lebih bersemangat dan lebih bersungguh-sungguh untuk berjaya. 

Halangan ini telah memberi pengajaran kepada beliau iaitu jangan bergantung hanya kepada satu sumber perniagaan sahaja. 

``Bermula dari situ, beliau semakin cenderung untuk mempelbagaikan empayar perniagaan,'' kata Mohd. Sidik, yang kini menerajui Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor. 

Kekecewaan ayah beliau telah menjadi titik perubahan yang penting dalam kehidupan Syed Mokhtar. 

Beliau mula menjalankan perniagaan dalam memperdagangkan barangan keperluan penting serta menjalinkan kerjasama dengan ahli perniagaan berketurunan Cina. 

Pada tahun 1970-an, syarikat bumiputera yang ingin bekerjasama atau berurusan dengan usahawan Cina adalah sesuatu yang unik. 

Beliau melakukannya untuk mempelajari cara terbaik menjalankan perniagaan. 

Dalam masa yang singkat, beliau telah mempelajari dan membeli perniagaan yang dipelopori oleh ahli perniagaan Cina khususnya dalam bidang pengangkutan (lori), perniagaan dan pemasaran beras, pakaian, pemprosesan makanan dan ternakan. 

Masjid Al-Bukhary, Alor Star, Kedah Darul Aman


Syed Mokhtar tokoh korporat disegani - 24/09/2002 - utusan malaysia 
Daripada seorang ahli perniagaan kecil, beliau berjaya membawa dirinya kepada perniagaan yang lebih besar dengan menyertai projek-projek di bawah Persyarikatan Malaysia. 

Beliau mula menceburi perniagaan utama pada tahun 1990 dengan mengambil alih dan menguasai saham-saham dalam beberapa syarikat awam yang tersenarai dan entiti kerajaan yang diswastakan, serta projek-projek terbengkalai yang amat memerlukan bantuan kewangan.

Hari ini, Syed Mokhtar muncul sebagai seorang ahli korporat yang disegani, satu usaha dan pengiktirafan yang beliau perolehi komitmen dan berkerja keras dengan matlamat untuk berjaya. 

Bagaimanapun, terdapat satu aspek yang tidak pernah dibincangkan oleh media mengenai Syed Mokhtar. 

Sebagai seorang Islam, beliau tidak pernah mengabaikan soal-soal kebajikan. 

Beliau menderma berjuta-juta ringgit setiap tahun kepada pelbagai projek kebajikan di bawah Yayasan Al Bukhary yang beliau gunakan sebagai cara untuk membantu mereka yang kurang upaya, menyokong usaha-usaha kebudayaan dan seni Islam. 

Sehingga ini, beliau telah membiayai pembinaan lebih 10 buah masjid di Malaysia dan pada tahun 2000, Syed Mokhtar telah menderma sebanyak 1.25 juta pound (RM7.5 juta) kepada pusat Oxford bagi pengajian Islam di London - salah satu pusat pengajaran Islam yang terkemuka. 

Sebuah pusat Yayasan Al Bukhary yang bernilai RM300 juta dengan reka bentuk oleh senibina `Moorish' (Islam Maghribi) sedang dalam pembinaan di Alor Setar dan dijangka siap pada 2004. 

``Pusat tersebut dilengkapi dengan sebuah masjid, pusat rawatan, pusat komuniti, sebuah rumah anak yatim, rumah orang-orang tua dan sebuah universiti yang disediakan untuk pelajar-pelajar tempatan dan antarabangsa,'' kata Datuk Ismail Yusof yang mengetuai Yayasan Al Bukhary. 

Tidak cukup dengan itu, bagi Syed Mokhtar, kebajikan bermaksud membantu mereka yang memerlukan, tidak kira bangsa atau agama. 

Dalam hubungan ini, pada tahun 1990-an, Syed Mokhtar telah menyumbang kepada Projek Langkawi - projek yang diusahakan oleh Malaysian Chinese Association (MCA) untuk mengumpul dana bagi sekolah-sekolah Cina dan memberikan biasiswa bagi pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan dan memerlukan bantuan. 

Beliau juga menyumbang mesin dialisis yang ditempatkan di sebuah bangunan rumah kedai di Kluang, Johor bagi kegunaan masyarakat setempat. 

Bagaimanapun, sumbangan beliau yang terbesar dalam bidang seni dan kebudayaan ialah pembinaan Muzium Seni Islam yang diwujudkan dengan kos RM110 juta. 

Ia merupakan hasil seni yang tiada tolok bandingnya dan segera menerima pengiktirafan sebagai pusat pemikiran Islam sedunia. 

Menurut Ismail: ``Jika ada satu perkataan yang boleh menggambarkan Syed Mokhtar, ia adalah sikap rendah dirinya. 

"Ini kerana segala kejayaan dan kekayaan tidak merosakkan dirinya". 

"Kaum keluarga, sahabat handai, saudara mara, rakan perniagaan dan manusia biasa yang telah beliau bantu boleh mengakui perkara ini''. 

Syed Mokhtar mendirikan rumahtangga ketika berusia pertengahan 40-an dan sekarang mempunyai empat orang anak - dua lelaki dan dua perempuan. 

Ismail berkata, Syed Mokhtar menjadikan pendidikan sebagai tanggungjawab utama kepada adik beradiknya kerana ia adalah sesuatu yang beliau tidak mampu miliki kerana kesempitan wang. 


``Beliau mahu melihat adik beradiknya mendirikan rumahtangga dan berada pada kedudukan kewangan yang stabil dahulu sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga,'' katanya. 


Sehingga hari ini, Syed Mokhtar bekerja dari siang hingga larut malam dan ada kalanya sehingga pagi. 

Rumahnya adalah juga ibu pejabat korporat, di mana beliau mengikuti perkembangan syarikat-syarikat dan kebajikan lebih 20,000 pengurus dan kakitangannya. 

Dewan di rumah beliau di Kuala Lumpur adalah bilik mesyuarat utama. 

Beliau berjumpa dengan pengarah-pengarah eksekutif dan pengurus-pengurusnya seminggu sekali. 

Syed Mokhtar hanya melakukan lawatan kerja jika perlu selain gemar mengadakan perjalanan balik-hari kerana beliau mahu meluangkan masa berkualiti bersama pekerja dan keluarga. 

Mohd. Sidik, yang selalu mengunjunginya di rumah beliau berkata: 

``Syed Mokhtar sebenarnya bukanlah seorang yang suka menyendiri, sebaliknya adalah seorang yang rendah diri dan suka membantu orang lain. 

``Di sebalik kemewahan hidupnya, beliau menjauhi pembaziran dan percaya kepada kesederhanaan dan kualiti dalam semua aspek kehidupan''. 


Syed Mokhtar telah mengharungi perjalanan yang jauh - bermula dari membantu bapanya dalam perniagaan lembu kepada memiliki empayar perniagaan yang besar serta dikagumi. 

Beliau telah mengambil 30 tahun untuk membina portfolio perniagaannya, tetapi dalam masa itu, beliau tidak pernah memandang kebelakang. 

Beliau mahu maju kehadapan dan menggabungkan empayar perniagaannya dan berkongsi kejayaannya. 

Beliau juga sering di label sebagai seorang yang `tamak' tetapi pernahkan seseorang itu terfikir beliau juga berkongsi kejayaan dengan lapan juta pemegang saham menerusi Perbadanan Nasional Berhad yang mempunyai pegangan besar dalam salah satu syarikatnya, Malaysia Mining Corporation. 


Menurut Ismail, Syed Mokhtar berpegang kepada dua prinsip asas kejayaannya iaitu - berserah kepada tuhan dan bekerja bersungguh-sungguh untuk memperoleh kejayaan.

4 ulasan:

  1. aku xtahu pon selama ni. skang aku sgt kagum dgn dia. thanks bro 4 sharing

    BalasPadam
  2. yeah...bukan senang nk cari orang yang dah berjaya dan masih lagi kekalkan kesederhanaan...rite?

    BalasPadam
  3. hurm.... aku tak tahu pun pasal ni...

    BalasPadam
  4. mmg la...sbb die xske publisiti...bukan org yang ske menunjuk2... :)

    BalasPadam

Tinggalkan pandangan